Sunday, April 15, 2007

Rumah Baru...

Alhamdulillah 9 April 2007 merupakan hari secara rasminya saya berpindah ke rumah baru. Walaupun hanya sekadar apartmen kecil 900 k.p.s, namun saya gembira kerana Allah mengizinkan saya punya rumah milik sendiri untuk berteduh. Tentulah sangat beruntung jika dibandingkan dengan ramai lagi umat manusia malang yang lain, - pelarian negara berperang yang tinggal di khemah, mangsa Tsunami atau rakyat Palestin yg tanahnya dirampas...

Kenapa apartmen? Kenapa tidak teres 2 tingkat? Kenapa 2nd hand, kenapa tidak beli yg baru? Ramai yang menanyakan soalan begitu... Semasa bekerja di Putrajaya, saya mengintai-intai iklan rumah di kawasan sekitar tempat kerja. Walaupun dah jumpa rumah teres 2 tingkat yang sesuai namun hati terasa berat nak meninggalkan Ampang Jaya, meninggalkan sahabat-sahabat. 'Support System' saya teguh di situ. Alhamdulillah Allah izin, direzekikan saya berpindah tempat kerja, balik ke tempat asal... Di Ampang Jaya tentulah harga rumah teres 2 tingkat sangat tinggi. Lagipun saya tak perlukan rumah yg besar buat masa ini, nanti keracunan oxygen pulak! Keperluan saya adalah sebuah apartmen yang ada kawalan keselamatan (tapi tidak perlu terlalu ketat seperti kondominium - tidak mesra pelawat!), boleh dengar azan bila masuk waktu solat dan dalam masa yang sama saya harap ibu ayah yang datang berkunjung sekali-sekala tidak sakit lutut kerana terpaksa memanjat tangga. Saya berusaha untuk cari rumah di apartmen sekitar sahabat-sahabat saya. Allah adalah perancang terbaik, diizinkan saya rumah di blok yang sama dengan rumah sahabat saya dan di ground level...

Menoleh ke belakang, saya melihat usaha dan doa saya dalam mengatur perjalanan hidup, Allah S.W.T kurniakan berdasarkan apa yang terbaik dan sesuai untuk saya... "Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (Ar Rahman : 13)